Sunday, August 7, 2011

Ilmu dan Kaedah Rawatan Islam Berbanding Perubatan Moden

ILMU DAN KAEDAH RAWATAN ISLAM BERBANDING PERUBATAN MODEN

Perubatan Islam yang diamalkan merupakan sedutan dan kaedah yang mengambil sumber dari al-Quran, as-Sunah, amalan as-Salafussoleh, Ahluz-zikr dan pengalaman ahli perubatan Islam yang muktabar. Perubatan Islam tidak sekali-kali mencampur-adukkan yang halal dan haram, dan menolak sepenuhnya semua kaedah yang mempunyai unsur syirik. Terdapat beberapa keadaan dan penyakit yang tidak boleh dirawat atau disembuhkan melalui ilmu dan kaedah perubatan moden. Di antaranya ialah gangguan jin, penyakit istihadah (terus menerus keluar darah dari faraj wanita), serangan sihir atau ilmu hitam, histeria, terkena badi, kerasukan syaitan dan jin, sebagainya. Ketika situasi begini ilmu dan kaedah rawatan Islam amat berkesan dalam mengambilalih peranan yang ditinggalkan oleh ilmu perubatan moden.
Ilmu perubatan Islam juga sangat besar peranannya untuk membentengi dan merawati manusia dari gangguan syaitan dan jin. Bahkan syaitan merasa agak berat jika berhadapan dengan orang yang berilmu. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, maksudnya “ Syaitan lebih susah menghadapi seorang fakih (berilmu) daripada menghadapi seribu orang yang abid (beribadat tanpa ilmu) “.
Ada orang yang ditimpa penyakit yang tidak dapat dikesan puncanya masalahnya. Maksudnya bila diperiksa oleh doktor perubatan moden, mereka tidak tahu apa jenis penyakitnya. Penyakitnya mungkin angkara perbuatan jin atau syaitan. Kalau ada orang yang mendapat penyakit seperti ini, tidak perlu dibawa berjumpa doktor pakar tetapi lebih baik diubati dengan perubatan Islam yang menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W.






BENTENG PERTAHANAN DIRI

Ahli perubatan Islam yang berikhtiar untuk membantu masyarakat dalam menyelesaikan masalah penyakit yang dihidapi terutama yang berkaitan dengan serangan makhluk halus, memang terdedah kepada serangan-serangan musuh yang tidak dapat dilihat seperti jin dan syaitan. Untuk mempertahankan diri daripada serangan-serangan ini, terdapat enam kaedah untuk mendinding dan melindungi diri, keluarga dan harta benda :
 Pendinding dengan Surah al-Fatihah
• Amalkan bacaan Surah Al-Fatihah setiap hari selepas Solat Fardhu lima waktu.
• Niatkan bacaan Surah Al-Fatihah agar Allah SWT menjadikannya sebagai pendinding diri.

 Pendinding dengan al-Muawwizat
Al-Muawwizat bermakna pelindung-pelindung. Ia terdiri dari tiga surah iaitu :
• Surah Al-Ikhlas
• Surah Al-Falaq
• Surah An-Nas

 Pendinding dengan Ayatul Kursi
• Baca Ayatul Kursi dengan 9 wakaf (seperti tanda wakaf dalam al-Quran Rasmi Uthmani).
• Selepas membaca Ayatul Kursi tiup di sekeliling mengikut pergerakan tawaf Kaabah, denga niat untuk melindungi diri.
• Baca Ayatul Kursi sambil berjalan mengelilingi rumah (mengikut pergerakan seperti tawaf Kaabah) sama ada di dalam atau di luar rumah untuk melindungi rumah.

 Pendinding dengan Surah Yaasin Ayat 1 hingga Ayat 9

 Pendinding dengan Doa Berkubu

 Pendinding dengan Ayat Penggerak


KAEDAH RAWATAN;

MULAKAN SETIAP RAWATAN DENGAN ISTIGHFAR, SURAH AL-FATIHAH DAN SELAWAT
Keberkesanan sesuatu rawatan cara Islam bergantung penuh kepada keikhlasan pengamalnya kepada Allah SWT. Bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT, setiap rawatan perlu dimulakan dengan memohon ampun daripada Allah SWT, beristighfar tiga kali diikuti dengan membaca Surah Al-Fatihah dan selawat kepada Rasulullah S.A.W terlebih dahulu.

 RAWATAN DOA DAN AIR

Di samping membaca doa-doa dan ayat-ayat al-Quran, air digunakan sebagai bahan utama dalam rawatan. Doa-doa yang dibaca ditiupkan pada air dan tempat yang sakit. Umumnya air yang telah didoakan itu disapukan pada tempat yang sakit dan kemudiannya diminum. Jika perlu, boleh juga dicampurkan ke dalam air mandian untuk bilasan terakhir.

Jika pesakit berada di samping, tangan kanan ahli perubatan memegang tempat yang sakit manakala tangan kiri memegang botol air. Botol air dipegang berhampiran dengan mulut perawat, dibacakan dengan niat yang tulus ikhlas memohon Allah SWT menyembuhkan penyakit yang dihidapi. Setelah selesai berdoa kemudian ditiup pada air di mulut botol.

Berikut disenaraikan jenis-jenis air yang boleh digunakan sebagai ikhtiar dalam rawatan penyakit mengikut turutan yang paling baik :

• Air Zamzam (yang paling afdhal).
• Air jernih biasa yang telah dibacakan Surah Yaasin oleh 40 orang atau lebih
• Air dari kolah masjid yang digunakan untuk berwuduk
• Air hujan malam Jumaat yang ditadah terus dari langit
• Air mineral semulajadi
• Air RO (Reverse Osmosis)
• Lain-lain air mutlak yang jernih dan suci







IKHTIAR PENYEMBUHAN PENYAKIT DENGAN AYAT-AYAT AL-QURAN DAN DOA-DOA

 Doa Asma
Untuk rawatan penyakit Asma, kombinasi bacaan doanya ialah :
• Surah Al-Fatihah
• Selawat Syifa’

 Doa Badi
Untuk rawatan pesakit yang terkena badi, kombinasi bacaannya ialah :
• Surah Al-Fatihah
• Ayatul Kursi dengan sembilan wakaf
• Al-Muawwizat (iaitu Surah Al-Ikhlas, Surah An-Nas & Surah Al-Falaq)
• Jika masih tidak berkesan, tambah dengan bacaan Doa Menghindar Syaitan dan Selawat Tafrijiyyah

 Doa Barah
Untuk merawat pelbagai jenis Barah, kombinasi bacaannya ialah :
• Surah Al-Fatihah dengan satu nafas – kekalkan dengan tujuh wakaf walaupun satu nafas
• Surah Al-Ikhlas 4 kali baca dengan satu nafas – kekalkan dengan empat wakaf walaupun satu nafas
• Doa Mengecilkan Bengkak

 Doa Buah Pinggang
Untuk merawat pesakit Buah Pinggang, kombinasi bacaannya ialah :
• Surah Al-Fatihah
• Selawat Syifa’
• Surah As-Syu’araa: 130 ;





 Doa Buasir
Untuk rawatan penyakit Buasir, kombinasi bacaan doanya ialah :
• Surah Al-Fatihah
• Selawat Syifa’
• Selawat Tafrijiyyah

 Doa Gastrik
Untuk rawatan Gastrik, kombinasi bacaan doanya ialah :
• Surah Al-Fatihah
• Selawat Syifa’
• Doa sakit perut dan gastric

 Doa Kayap
Untuk rawatan penyakit Kayap, kombinasi bacaan doanya ialah :
• Surah Al-Fatihah
• Bismillah Lima
• Selawat Syifa’
• Doa rawatan sakit Barah

 Doa Koma
Untuk rawatan orang yang sedang koma supaya pulih, kombinasi bacaan doanya ialah :
• Surah Al-Fatihah
• Selawat Syifa’ tujuh kali
• Selawat Tafrijiyyah tujuh kali
• Doa rawatan Koma tujuh kali
• Sebagai tambahan elok juga ditambah dengan bacaan Yaasin Kafiat untuk rawatan koma

 Doa Lumpuh
Untu rawatan orang yang lumpuh, kombinasi bacaan doanya ialah :
• Surah Al-Fatihah
• Selawat Syifa’ tujuh kali
• Selawat Tafrijjiyah tujuh kali
• Doa rawatan lumpuh tujuh kali
• Doa Angin Ahmar
 Doa Sakit Mata Sebab Sihir
Untuk rawatan sakit mata sebab sihir, kombinasi bacaan doanya ialah :
• Surah Al-Fatihah
• Selawat Syifa’
• Doa menentang & merawat sihir
• Doa menentang syaitan
• Ruqyah Jibrail

 Doa Penyakit Yang Sukar Diubati
Untuk rawatan penyakit yang sukar diubati, kombinasi bacaan doanya ialah :
• Surah Al-Fatihah tujuh kali
• Selawat Syifa’ tujuh kali
• Selawat Tafrijiyyah tujuh kali
• Ulang semula Surah Al-Fatihah sekali
• Tujuh Syifa’

 Doa Sesak Nafas
Untuk melegakan pernafasan yang terganggu, kombinasi doa-doa berikut boleh dibaca :
• Surah Al-Fatihah
• Ayatul Kursi
• Al-Muawwizat (iaitu Surah Al-Ikhlas, Surah An-Nas & Surah Al-Falaq)
• Surah Al-Insyirah
• Doa melegakan nafas








KELEBIHAN MENGAMALKAN ILMU DAN KAEDAH RAWATAN ISLAM

Mempelajari ilmu pengubatan Islam dan mengamalkannya juga merupakan sebahagian daripada dakwah. Dakwah yang paling besar ialah mengajak masyarakat supaya meninggalkan ilmu-ilmu pengubatan yang mengandungi unsur-unsur syirik yang tidak diakui sah oleh Islam seperti yang diamalkan oleh sebahagian daripada pengamal perubatan tradisional melayu.
Dalam menghadapi semua masalah penyakit, kita hanya merujuk kepada Allah SWT. DaripadaNya datang segala kebaikan, dan kejahatan tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah SWT. Ilmu pengetahuan setiap harinya ada mengungkap masalah-masalah yang sebelumnya tidak diketahui dan apabila sudah jelas akan jalan penyelesaiannya, maka selaku orang Islam seharusnya bertambahlah keyakinan kita bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah benar.
Belajar ilmu pengubatan Islam seelok-eloknya mendapatkan ijazah daripada guru. Sebagai mengambil contoh, Imam as-Shafie ketika berguru dengan Imam Waqi’ mendapatkan ijazah daaripada gurunya setelah tamat belajar. Ketika Imam as-Shafie belajar dengan Imam Malik, dia tidak dibenarkan memberi fatwa oleh Imam Malik sehingga dia diijazahkan.
Zikir-zikir, doa-doa dan ayat-ayat al-Quran yang digunakan di dalan perubatan Islam dapat mendekatkan diri pengamalnya dengan al-Quran, Allah dan rasulNya. Ini dapat menambahkan keimanan dan pemahaman pengamalnya dengan ilmu Allah yang luas dan dapat merungkai beberapa kelebihan dan misteri al-Quran yang harus dikaji, difahami dan diamalkan untuk kebaikan manusia sejagat umumnya dan umat Islam khususnya. Al-Quran adalah ubat bagi apa yang ada di dalam dada. Ia akan menghilangkan perasaan was-was, syahwat yang tidak baik, niat buruk dan segala buatan-buatan syaitan pada hati. Maka sebelum memasukkan ubat perlulah disingkirkan terlebih dahulu segala jenis kekotoran dan penyakit yang ada di dalam hati. Tujuannya ialah supaya ubat yang masuk itu lebih meresap dan membawa kesan yang baik.
Memperbanyakkan zikir sememangnya senjata yang paling ampuh untuk menghadapi syaitan dan gangguannya. Itulah sebabnya Nabi Yahya pun pernah memberi pesan lima perkara kepada Bani Israil, iaitu di antaranya, “ Aku menyuruh kamu supaya banyak berzikir kepada Allah. Berzikir samalah seperti seorang lelaki yang pergi menghadapi musuh. Tatkala dia berada dalam kepungan musuh, dia dapat menyelamatkan dirinya. Begitu juga halnya dengan manusia, tidak akan sanggup melepaskan diri dari kepungan syaitan kecuali dengan berzikir kepada Allah “.

No comments:

Post a Comment